Laman sesawang Google Malaysia hari ini dipercayai telah digodam oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai TiGER-M@TE.
Insiden itu dikesan sekitar jam 9.55 pagi tadi dan sehingga berita ini ditulis, masalah yang sama masih berlaku.
Akses terhadap laman utama enjin pencarian popular itu tidak dapat dicapai malah satu paparan berwarna hitam yang tertera perkataan Hacked dipaparkan.
Pihak yang dipercayai di sebalik penggodaman tersebut turut meletakkan satu hashtag #Bangladeshi HackeR.
Bagaimanapun, jurucakap Google Malaysia, Zeffri Yusof menafikan dakwaan godaman tersebut tetapi berhadapan masalah dengan pihak DNS dan pihaknya sedang menyiasat mengenai kejadian terbabit.
Susulan itu juga, Google Malaysia mengeluarkan satu kenyataan rasmi – “Kami sedar bahawa beberapa pengguna menghadapi masalah melayari google.com.my, atau telah diarahkan ke laman web yang berbeza. Perkhidmatan Google untuk domain google.com.my tidak terjejas. Kami sedang berhubung dengan organisasi yang bertanggungjawab untuk menguruskan nama domain dan berharap untuk menyelesaikan isu ini. ”
Ini bukanlah kali pertama kejadian yang sama berlaku. Pada tahun 2013, percubaan godaman yang seakan sama turut berlaku kepada laman Google Malaysia.
Sementara itu laman Twitter dipenuhi reaksi dari para pengamal media sosial yang berdepan masalah tersebut.