Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menyifatkan dirinya sebagai individu yang menerima paling banyak aduan pengguna di dunia ketika ini.
Beliau menjelaskan, aduan yang paling banyak sejak kebelakangan ini melibatkan caj perkhidmatan di hotel dan restoran iaitu sebanyak 40 peratus dari jumlah keseluruhan aduan yang diterimanya.
“Saya ingat di dunia ini saya yang paling banyak terima aduan berhubung kait harga barang dan penipuan di sana sini.
“Jadi, kementerian saya bercadang untuk memansuhkan caj perkhidmatan dalam industri makan dan minuman. Tapi saya melihat ada kekangan di situ kerana ada implikasi undang-undang.
“Ini kerana caj perkhidmatan dilaksanakan berikutan terdapat persetujuan bersama antara majikan dan pekerja. Ini bermakna 10 peratus yang dikenakan kepada pengguna akan diberikan kepada pekerja,” katanya.
Hasan mengulas jumlah aduan yang diterima kementerian sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Petronas WAYS2WIN di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Petronas Dagangan Berhad, Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus.
Hasan memberitahu pihak akan membuat kajian mendalam dan menyeluruh dengan menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai kementeriannya sendiri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Jelasnya, jawantankuasa ini akan bermesyuarat secepat mungkin untuk membincangkan aduan caj perkhidmatan ini sekaligus berhasrat memansuhkannya.
“Kadang-kadang jadi persoalan sama ada 10 peratus caj perkhidmatan benar-benar sampai kepada pekerja. Saya juga tidak mahu buat tuduhan berlaku manipulasi apabila majikan kutip 10 peratus untuk menipu pekerja.
“Jadi jawatankuasa ini akan membuat satu keputusan yang tepat dan memenangi hati semua pihak. Oleh itu kita tunggu sahaja kerana ia juga perlu dirujuk kepada persatuan hotel untuk mendapatkan pandangan mereka.
“Justeru, buat sementara waktu, pihak hotel dan restoran disaran meletakkan iklan, notis atau makluman jika ingin mengenakan caj perkhidmatan 10 peratus di pintu masuk premis masing-masing,” katanya.
Jelas Hasan, aduan lain yang diterima adalah kenaikan harga barang, tiada tanda harga dan penipuan alat timbang.