Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics tidak akan berkompromi dengan sebarang tingkah laku pelajarnya yang menyalahi undang-undang negara.
Justeru, Lembaga Disiplin dan Lembaga Akademik kolej memutuskan untuk memberhentikan seorang pelajarnya yang didapati terbabit dalam perbuatan menghina pemimpin negara baru-baru ini, kata kolej itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, perbuatan pelajar semester ketiga jurusan Diploma Kreatif Multimedia terbabit adalah atas kapasitinya sebagai individu.
“Ia sama sekali tidak mewakili budaya ilmu yang dipraktikkan di Cybernetics,” kata kenyataan itu.
Cybernetics juga mengambil langkah proaktif bagi membantu pihak polis sepanjang proses siasatan kes.
“Cybernetics sentiasa menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ini untuk melahirkan modal insan yang berilmu, bertatasusila, dan menjunjung keluhuran perlembagaan untuk pembangunan Malaysia dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.
Pelajar terbabit adalah antara 11 individu yang dikenal pasti polis dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri dan isteri serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, pada malam 30 Ogos lepas.