Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Menurut beliau, langkah ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.
“Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.
“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional,” katanya.
Menurut kenyataan beliau lagi, cadangan pembangunan kediaman itu yang akan dibangunkan oleh TH Properties (anak syarikat TH), dijangka memberi pulangan positif kepada kumpulan itu pada masa hadapan.
Tambah Johan, TH akan terus meneroka peluang-peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangkakerja Alokasi Aset Strategik.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Johan menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu.
“Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Azeez Rahim menerusi Twitternya telah menafikan dakwaan pembelian tanah milik 1MDB seperti yang tersebar di media sosial sejak semalam.
Beliau juga telah mengarahkan pihak pengurusan TH untuk segera mengeluarkan kenyataan serta menyerahkan kepada mereka untuk menjawab dakwaan berkenaan.