1Malaysia Development Bhd (1MDB), dana pembangunan strategik kerajaan dikatakan akan menjual dua lot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) di pusat bandar Kuala Lumpur kepada Lembaga Tabung Haji pada pertimbangan keseluruhan RM772 juta.
Mengikut sumber, penjualan itu adalah yang pertama dilaksanakan syarikat itu selepas mengumumkan rancangannya pada Februari lalu untuk menjual aset bagi membiayai hutangnya yang kini berjumlah hampir RM42 bilion.
Hutang tinggi syarikat itu dikatakan menjadi antara faktor yang menjejaskan ringgit dan penarafan Malaysia.
Dalam pada itu, Tabung Haji dijangka mengeluarkan kenyataan hari ini manakala jurucakap 1MDB enggan mengulas.
TRX, pusat perniagaan baharu seluas 70 ekar di pusat bandar Kuala Lumpur adalah satu daripada dua hartanah utama 1MDB.
Satu lagi projek hartanahnya ialah Bandar Malaysia di tapak bekas lapangan terbang di Sungai Besi.
Mengikut laporan, Tabung Haji dikatakan membeli satu lot tanah di TRX pada pertimbangan RM2,860 sekaki persegi dengan peruntukan keseluruhan RM194 juta untuk dibangunkan sebuah pangsapuri khidmat setinggi 40 tingkat.
Sementara satu lot lagi akan dibeli pada pertimbangan RM3,900 sekaki persegi membabitkan pertimbangan RM578 juta yang akan dibangunkan dengan sebuah menara 74 tingkat dikenali ‘Signature Tower’