Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin mengesahkan transaksi pembelian tanah seluas 1.56 ekar yang bernilai RM188.5 juta di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange (TRX) menepati Syariah dan mematuhi prosedur.
Beliau berkata, dalam transaksi jual beli Islam, tidak timbul persoalan mengenai modal peniaga.
Yang paling penting dalam dalam transaksi urus niaga Islam terdapat tiga perkara iaitu ada pihak yang mahu menjual dan membeli, ada harta yang hendak dijual serta persetujuan penjualan dan pembelian.
“Dalam Islam tidak perlu tanya berapa modal encik (buat perniagaa), kita tidak ada hak untuk bertanya perkara itu,” katanya yang turut hadir dalam sidang media oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi menjelaskan pembelian tanah TRX.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkata, transaksi pembelian tanah yang menimbulkan kontroversi itu memang mengikut prosedur.
Katanya, apabila panel pelaburan bersetuju dengan cadangan pembelian tanah berkenaan, perkara itu dibawa ke peringkat penilaian dan seterusnya ke pihak pengurusan.
Semua Lembaga Pengarah TH kecuali Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan TH dikecualikan dalam proses penilaian itu kerana beliau adalah Lembaga Urusan 1MDB.
“Transaksi pembelian ini sah bukan gharar (ketidaktentuan dalam kontrak). Transaksi ini tidak ada hubungan dengan 1MDB atau Perdana Menteri. TH hanya beli tanah 1MDB,” tambah beliau.