Lembaga Tabung Haji (TH) perlu membuat pelaburan supaya hasilnya boleh menampung kos haji yang meningkat setiap tahun.
Contohnya kos mengerjakan haji pada tahun ini ialah sebanyak RM17,270 seorang tetapi TH hanya mengenakan bayaran sebanyak RM9,980 sahaja.
“Perbezaannya adalah RM7,290 dan TH memerlukan peruntukan minimum sebanyak RM120 juta untuk disubsidi kepada jemaah haji.
“Bagaimana TH mampu memberi subsidi jika TH tidak melabur, andai kata TH menaikkan RM3,000 lagi mesti orang marah,” kata Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang akhbar bagi menjelaskan pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad.
Tanah yang dibeli oleh TH pada harga RM188.5 juta itu dirancang untuk dibangunkan kediaman.
Tambahnya, pasaran nilai bagi harga kelapa sawit dan getah jatuh dan hartanah merupakan antara aset yang memberi pulangan baik, justeru tidak salah jika hartanah menjadi tumpuan pelaburan TH.
Beliau mengaku terkilan kerana isu pembelian tanah itu diperbesar-besaran sehingga kebaikan dan sumbangan TH selama ini tidak dihargai.
Katanya, TH sentiasa memperbaiki pengagihan dividen daripada 4.7 peratus dinaikan kepada 5 peratus, 5.5 peratus dan pada tahun kewangan 2013 dan 2014, pendeposit masing-masing menerima agihan sebanyak 8 peratus dan 8.25 peratus.
Untuk membayar agihan kepada 8 juta pendeposit, TH perlu mencatatkan keuntungan sebnayak RM3.248 bilion.
“Bayangkanlah kalau TH tidak berniaga macam mana kami mahu bayar agihan dan menampung kos haji?,” tambahnya.