“Saya tak berbohong, Tun Dr Mahathir juga tidak berbohong,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di sidang media di kediamannya tengah hari tadi.
Dalam sidang media itu, Pandikar juga turut mengakui bahawa apa yang didedahkan oleh Tun Dr Mahathir itu adalah benar.
“Saya tidak aibkan Tun Mahathir, tetapi dia mengaibkan diri sendiri kerana membocorkan rahsia perbincangan kami.
“Saya memang nak meletak jawatan tetapi selepas bertemu dengan Najib Razak, surat perletakan jawatan saya tidak diterima.
“Tun Mahathir terlalu ghairah untuk menghentam Najib sehingga meminta saya untuk meletak jawatan,” katanya kepada media.
Bagaimanapun, terdahulu bekas perdana menteri itu hanya mencadangkan supaya Pandikar untuk meletak jawatan jika tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh Najib.
“Saya jumpa Tun Mahathir pada 13 Mac 2013 dan jumpa Najib pada 19 Mac. Perjumpaan dengan Tun Mahathir adalah seperti pertemuan ayah dan anak.
“Ketika pertemuan dengan Najib, jangan kata dia baca surat perletakan jawatan itu, terima pun tidak, apatah lagi pegang pun tak mahu.
“Sebaliknya, dia hanya bertanya apakah sebenarnya permasalahan saya sebagai speaker?
“Saya harap selepas ini semua selesai. Jangan kejar saya di Parlimen atau telefon saya untuk bertanyakan isu ini lagi,” tegasnya kepada pihak media.
Susulan dari kenyataan terbaru Speaker Dewan Rakyat itu, netizen mula membuat spekulasi mengenai pertemuan diantara beliau dengan Najib Razak sehingga membuatkan Pandikar menarik balik hasratnya untuk meletak jawatan.