Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas penggunaan kad tambah nilai prabayar akan dikekalkan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengguna tidak akan dikenakan GST semasa membeli kad tambah nilai tetapi membayar cukai tersebut apabila nilai tersebut dikreditkan ke dalam nombor telefon bimbit.
Beliau berkata, kerajaan berusaha mencontohi negara-negara lain yang turut mengenakan cukai ini ke atas penggunanya.
“Pengguna tidak akan dibebankan dengan GST ketika membeli kad tambah nilai terbabit, sebaliknya hanya dikenakan GST ketika membuat panggilan, menghantar SMS dan sebagainya.
“Ia sama seperti penggunaan kad ‘Touch n Go’ dan bayaran tempat letak kereta yang juga dikenakan GST. Mereka hanya dicukaikan semasa penggunaan khidmat-khidmat ini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN- Tanah Merah).
Ahmad Shabery berkata, bagi mengimbangi kesan GST, kerajaan akan meminta syarikat telekomunikasi menurunkan tarif perkhidmatan bagi penggunaan panggilan dan mesej.