Sebuah kereta Proton Preve dikesan menggunakan cara yang paling keji dan mencurigakan untuk mengelak daripada membayar tol.
Pemandu kereta berkenaan bertindak melekatkan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sisi keretanya sebelum melalui laluan tol dan kemudian menanggalkannya semula selepas selepas melalui tol.
Ia dikongsikan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook dengan nama Adnan Abdullah hari ini.
“Saya berasa sangsi untuk berkongsi berkenaan hal ini pada mulanya, tetapi saya buat keputusan untuk meneruskan niat saya itu.
“Pada Ahad, ketika sedang menggunakan laluan lebuhraya LEKAS menghala ke Kuala Lumpur, saya terlihat sebuah kereta Preve berwarna perak dengan kelakukan agak mencurigakan.
“Sebelum tiba di laluan tol, pemandu kereta itu menurunkan tingkap sisinya dan menampalkan logo PDRM di pintunya, dia melalui tol tanpa perlu membayar apa-apa.
“Sebaik melepasi tol berkenaan, dia mengeluarkan tangannya dan menanggalkan semula logo itu,” ceritanya di laman Facebook.
Adnan berkata, kelakuan itu menyebabkan dirinya berasa curiga dan melihat ada dua orang lelaki di dalam kereta itu yang tidak kelihatan langsung sebagai seorang anggota polis.
Dia berasakan lelaki itu adalah pihak yang mengambil kesempatan menggunakan kereta Preve dan logo PDRM hanya untuk mengelak dari membayar tol.
“Saya mengekori kereta itu dengan rapat dan menghampiri plaza tol seterusnya dan dia lakukan perkara yang sama.
“Gambar yang dimuatnaik di ambil pada beberapa peringkat sebelum dan selepas laluan tol,” katanya.
Adnan turut curiga sama ada lelaki berkenaan turut menggunakan taktik yang sama untuk turut merompak dan menyamun orang lain.
Difahamkan dia sudah pun melakukan laporan polis.
Nampaknya tindakan ini dilihat begitu keji dan ada kemungkinan mereka turut melakukan jenayah lain dengan penyamaran ke atas kereta Preve berkenaan yang memperlihatkan seperti mereka adalah anggota polis sebenar.
Difahamkan sehingga kini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kejadian ini.