Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

‘Kami Cium Duit Untuk Tarik Rezeki, Bukan Sembah’

$
0
0

Setelah dikecam oleh ramai pihak di media sosial, penganjur kursus ‘magnet wang’ akhirnya membuka mulut dan menafikan dakwaan mengajar pesertanya menyembah duit.

Penganjur seminar, Dr Mohamad Khalid Sabran berkata, teknik mencium segumpal wang bernilai RM44,000 itu bukan upacara menyembah duit seperti yang didakwa.

Sebaliknya, ia adalah satu cara untuk menarik rezeki serta melatih ‘minda bawah sedar’ dengan merasakan ‘getaran, tenaga dan rasa bersyukur’ apabila memiliki duit yang banyak.

“Kita merasakan getaran perasaan itu, bukannya kita sembah duit. Malah kita membayangkan benda yang kita sayang, duit pun kita sayang. Siapa tak sayang duit sedangkan anak bini pun kita cium sebab kita sayang,” katanya.

Gambar gelagat peserta kursus yang diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Mei itu tersebar di laman sosial dan menerima kecaman pelbagai pihak yang menganggap penganjur mendidik pesertanya bertuhankan duit.

Difahamkan, setiap peserta dikenakan bayaran yuran sebanyak RM550 untuk menyertai kursus itu dari jam 9 pagi hingga 6 petang yang disertai oleh sekitar 40 orang peserta.

Jelas Dr Mohamad Khalid Sabran lagi, tindakan menyuruh pesertanya mencium duit dalam program ‘Aura Mind Power & Magnet Seminar’ itu tidak salah.

“Kenapa tidak kita boleh cium duit? Cium itu bukan bermaksud sembah. Orang mentafsir kita menyembah duit sedangkan masa itu kita ingat Allah yang bagi duit ini. Kita membayangkan ‘Ya Allah, Engkau berilah aku rezeki sebanyak ini.’ Itulah konsep dia.

“Itulah yang kita tanamkan di dalam ‘subconscious mind’ mereka kerana minda ini apa yang kita fikir, itu yang kita akan dapat,” jelasnya.

Dr Mohamad Khalid Sabran yang juga presiden Persatuan Perubatan Alternatif Malaysia (PPAM), turut mendedahkan rakannya yang juga seorang pengendali seminar ‘magnet kekayaan’ yang sudah popur juga turut mengamalkan teknik yang hampir sama iaitu memeluk duit. Cuma bezanya, penganjur seminar itu tidak membenarkan gambar modul itu dikongsikan kepada orang ramai.

“Kita keluarkan gambar ini kerana kita hendak melontarkan idea untuk mendapatkan respon tetapi respon yang kita dapat banyak yang negatif.

“Saya relaks saja kerana di fikiran saya, manusia di luar sana mudah membuat tanggapan yang negatif. Kita buat benda betul dan perkara itu peserta sendiri yang menilai dan bukannya orang luar,” jelasnya dengan yakin dan menambah tiada seorang pun pesertanya yang mempertikaikan teknik itu.

Berikutan tersebarnya gambar-gambar tersebut, Facebook milik Khalid digodam oleh dua individu pada malam semalam dengan memuat naik status,

“Saya tengah bertapa kat GUNUNG LEDANG. MAAF YA. PM Password,”

Penggodam itu hanya mendedahkan diri sebagai “MrDodgerX” dari “Harimau Malaya Cyber Army” pada dinding Facebook Khalid.

Khalid sudah membuat laporan polis pada pukul 9.30 malam semalam dan kini menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997