Selepas berita tentang Rahim (Sepahtu) dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu, timbul pula berita yang kononnya pelawak itu meninggal dunia akibat sesak nafas.
Rahim ketika dihubungi Astro Gempak bagaimanapun tidak terkejut apabila dimaklumkan tentang perkara tersebut sebaliknya terkilan kerana berita seumpama itu boleh menimbulkan huru-hara.
“Alhamdulillah, panjanglah umur saya…Kepada mereka yang menyebarkan berita palsu dan tidak benar tentang keadaan saya itu, hentikanlah kerana ia akan menyebabkan keadaan jadi huru-hara.
“Dikesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada yang telah mendoakan kesihatan dan kesejahteraan diri saya.
“Kepada rakan-rakan yang telah membantu saya pada hari kejadian terutama Jep dan Shuib, pertolongan mereka tidak terluah dengan kata-kata,” katanya.
Menurut Rahim lagi, dia dikejarkan ke Hospital Jengka, Pahang selepas mengalami sesak nafas sejurus mengadakan persembahan Konsert Jelajah Sepahtu di Kompleks Sukan Jengka pada Sabtu lalu.
“Sebenarnya ia tidak begitu serius cuma sewaktu selesai mengadakan persembahan saya mengalami masalah sukar untuk bernafas akibat daripada komplikasi yang berpunca dari gastrik.
“Selepas melihat keadaan saya begitu, mereka segera menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Tetapi saya dibenarkan keluar pada hari sama dan doktor telah menasihati saya supaya berehat secukupnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rahim menafikan dia dikejarkan ke hospital kerana masalah jantung seperti didakwa sesetengah pihak.
Tambah Rahim lagi, kejadian serupa pernah menimpa dirinya ketika sedang menjalani penggambaran tidak lama dahulu.
Rahim juga telah memuat naik video di akaun Instagram dan berkongsi tentang kesihatan terkininya.