Selama hampir lima tahun berkecimpung dalam arena seni, pelakon bukan Melayu dari suku kaum Kadazan, Adeline Tsen buat kali pertama diberi watak perempuan Melayu. Malah, menerusi watak Tuti bagi telefilem muzikal berjudul ‘Imam Kacak Pakwe Kami’ terbitan KRU Production itu, Adeline perlu memakai tudung dan purdah.
Bagi mencabar diri, Adeline bersedia menggalas cabaran itu. Ia bukan masalah besar kerana dalam kalangan teman artis pun, dia ramai kawan dalam kalangan artis Melayu dan ada di antaranya turut memakai tudung.
Telefilem muzikal bagi siaran TV1 bersempena Aidilfitri nanti diarahkan Waan Hafiz dan buat julung kalinya juga Adeline bergandingan dengan anggota kumpulan Forteen yang juga pelakon iaitu Izzue Islam sebagai teraju utama.
“Selama ini saya pernah diberikan peranan gadis Melayu dan membawakan watak wanita mualaf yang kemudiannya bertudung. Memang seronok dan mengujakan membawakan watak ini kerana ia cukup mencabar dan di luar jangkaan. Perasaan membawakan karakter wanita Muslimah yang perlu berpurdah ini cukup mencabar.
“Pendek kata saya kena bercakap dengan penuh sopan termasuk memberikan salam. Awal-awal memang sedikit janggal tetapi lama kelamaan ia sudah jadi kebiasaan. Selalunya saya sering diberi peranan antagonis tetapi untuk watak Tuti segala segi diri saya ini penuh lemah lembut dan sopan santun selain menutup aurat,” kata Adeline kepada BH Online.
Mengikut Adeline, dia berterima kasih kepada produksi KRU kerana memberikan kepercayaan untuk pelakon bukan Melayu sepertinya bagi memegang peranan sebagai wanita Muslim.
“Karakter ini menambah lagi portfolio seni saya sekali gus membuka lembaran baru dalam menimba pengalaman. Sebelum ini saya pernah berlakon dengan Izzue tetapi bukan sebagai hero dan heroin. Tapi kali ini, kami bergandingan untuk watak utama. Izzue sangat profesional serta merendah diri. Lakonan dia pun bagus dan senang berlakon dengannya,” katanya.