Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berkongsi petua dan pengalaman sepanjang berada di Seri Perdana, selama 22 tahun.
Perwatakan yang lembut dengan penuh keibuan menjarakkan beliau daripada sebarang kontroversi meskipun pernah difitnah.
Siti Hasmah merupakan antara doktor perubatan wanita terawal di negara ini menjelaskan tugas yang disandang sebagai isteri Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan mudah.
Beberapa pengalaman dan petuaa dikongsi dengan portal berita Malaysiakini.
Katanya, pengalaman beliau sebagai doktor di Kedah memberikan pendedahan dan pengajaran ketika berdepan dengan pelbagai kelompok masyarakat yang mana ketika itu rata-rata hidup dalam keadaan miskin.
“Kamu mungkin doktor atau mungkin juga isteri MP (anggota parlimen), tetapi jika kamu sombong, mereka (rakyat) tidak akan terima kamu,” katanya yang dipetik daripada portal itu.
Menurutnya, sebagai isteri, beliau akan memastikan dirinya mempunyai maklumat dan sentiasa mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling ketika menemani Dr Mahathir bertemu rakyat.
“Ketika bercampur dengan orang ramai juga, seorang suami harus dihormati, bukan sahaja kerana beliau suami kamu tetapi juga Perdana Menteri kamu, seperti juga orang lain,” katanya.
Pesannya kepada isteri pemimpin yang lain, jangan sesekali bersaing dengan suami sendiri.
Menurut Siti Hasmah, sepanjang suaminya bergelar Perdana Menteri, beliau menjadi orang tengah antara rakyat dengan pemimpin.
Bagaimanapun, ia dilakukan dengan berhemah.