Seorang jurutera kilang didakwa cuba merakam paha seorang wanita yang sedang menaiki eskalator menggunakan telefon bimbitnya, Sabtu lepas.
Tertuduh, Nasrul Aizat Zulkifli, 25, mengaku bersalah dihadapan Majistret Nur Azura Murah terhadap pertuduhan hendak mengaibkan kehormatan dengan merakam video bahagian sulit seorang pekerja kedai telefon berusia 29 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tangga eskalator tingkat 1, Plaza Low Yat, Dang Wangi di sini pada 6.30 petang, 13 Jun lalu.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima hari, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Jun lepas dan denda RM4,000. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh bakal dipenjara lima bulan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang menaiki eskalator untuk ke tingkat satu menyedari tindakan seorang lelaki yang meletakkan telefon bimbit di bawah skirt yang dipakainya.
Mangsa kemudian meminta tertuduh menunjukkan telefon bimbit itu namun dia enggan dan menafikan perbuatannya menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
Beberapa pekerja di plaza itu yang menyedari jeritan mangsa kemudian membantunya menahan tertuduh dan mangsa telah memeriksa telefon bimbit tertuduh dan mendapati satu rakaman video yang menunjukkan bahagian pahanya.
Ketika sesi rayuan, tertuduh yang diwakili peguam P. Muniswer memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia juga telah insaf dengan perbuatannya.
Namun Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira tindakan tertuduh yang telah menyebabkan gangguan emosi dan trauma kepada mangsa.