Hanya berbaki lima hari sahaja lagi sebelum jersi baru Manchester United akan diumumkan secara rasmi tetapi sebuah kedai sukan di Amerika Syarikat secara tidak sengaja bukan sahaja mempamerkannya malah menjualnya secara terbuka.
Mengikut perjanjian, United tidak boleh mempamerkan jersi baru mereka keluaran Adidas sehingga menjelang 1 Ogos iaitu sehari selepas kontrak mereka bersama Nike tamat secara rasmi.
Namun kedai sukan Dick’s Sporting Goods telah mula menjual jersi baru itu kepada awam secara tidak sengaja sehingga mencetuskan viral di dalam internet apabila seorang pembeli memuatnaikkan foto-foto yang dirakamkan secara senyap-senyap.
Jersi itu dijual pada harga AS$90 sehelai.
Nike membuat dan memasarkan jersi United selama 13 tahun dan kontrak mereka tamat menjelang 30 Julai ini.
Mulai 1 Ogos, gergasi Jerman, Adidas akan mengambil alih peranan itu melalui perjanjian bernilai AS$750 juta dengan United untuk tempoh 10 tahun.
Ia adalah perjanjian antara pengeluar jersi dengan kelab bolasepak yang termahal dan tertinggi dalam sejarah bolasepak dunia.
Jersi baru United ini persis jersi retro yang pernah mereka gunakan di awal tahun 1980-an juga ketika itu dikeluarkan oleh Adidas.
Tahun lalu, United menjual barangan jenamanya sehingga £37.5 juta.
Dan menerusi perjanjian yang dimeterai dengan Adidas, United akan menerima bayaran royalti sehingga £75 juta untuk tahun pertama sahaja.