Seorang wanita berusia 30 tahun maut apabila dia ‘ditelan’ hidup-hidup oleh eskalator ketika hampir sampai ke tingkat atas bersama dengan anak lelakinya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya di Daerah Jingzhou, pada jam 10.10 pagi semalam.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dan anaknya dilihat telah hampir sampai ke tingkat atas dengan menggunakan perkhidmatan eskalator tersebut.
Malangnya, secara tiba-tiba papan lantai di penghujung eskalator itu runtuh dan kanak-kanak lelaki itu hampir sahaja terperosok ke dalam lubang berkenaan namun sempat diselamatkan oleh ibunya sebelum menyerahkannya kepada dua orang wanita yang kebetulan berada hampir di tempat kejadian.
Bagaimanapun, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri lalu terjatuh ke dalam lubang eskalator tersebut. Dua orang wanita yang menyaksikan kejadian itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana terkejut dengan insiden itu.
Pasukan penyelamat yang tiba di tempat kejadian menemui mayat mangsa di dalam eskalator tersebut.