Wanita mana yang sanggup apabila suaminya mahu berkahwin lain. Persepsi setiap wanita terhadap hidup bermadu atau berpoligami ini berbeza. Malah ada yang menolak untuk berbual tentangnya.
Tetapi berbeza bagi pelakon Siti Saleha, dia katanya tidak menolak sekiranya dirinya dimadukan satu hari nanti. Ini semua gara-gara lakonan filem terbarunya, Cinta Paling Agung, telah membuka matanya berhubung isu poligami.
“Perkahwinan bukan satu gurauan. Saya banyak belajar sepanjang melakonkan watak ini. Cinta Paling Agung membuka mata saya mengenai penceraian dan poligami.
“Andai nanti saya berkahwin, saya tidak dapat menerima kenyataan jika ditakdirkan terpaksa berkongsi suami, katanya.
Jelasnya, apa yang penting dalam kehidupan bermadu adalah suami itu perlu bersikap adil terhadap isteri-isterinya.
“Saya tidak menolak kehidupan berpoligami tetapi suami harus berlaku adil dan mengikut lunas agama. Jangan pula nanti melukakan hati dan perasaan orang lain hanya kerana ingin mengambil kesempatan ke atas agama (menghalalkan agama)”, katanya.
Filem Cinta Paling Agung adalah lakonan Siti Saleha bersama Aaron Aziz yang kini ditayangkan di Astro First.