Pelbagai reaksi membanjiri media sosial selepas pengumuman senarai anggota Kabinet baru semalam, lebih-lebih lagi, selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Reaksi netizen di media sosial telah menyebabkan anak perempuan Zahid, Nurul Hidayah tampil untuk menyatakan sokongan dia kepada ayahnya menerusi laman sosial Instagramnya, lewat malam semalam.
“Abah, betapa orang sedang menyanjungmu, memujimu, memakimu, menyumpah seranahmu, kau tetap suami, Abah, Grandpa kami.
“Tetaplah dengan istiqamahmu, janjimu kepada Maha Pencipta, sebagai anak, bukan status yang kami pandang. Abah tetap Abah,” tulis Hidayah.
Hidayah juga menyatakan bahawa mereka sekeluarga akan memahami keberatan tanggungjawab Zahid sebagai seorang menteri, walaupun selepas ini ayahnya mungkin tidak mampu meluangkan masa untuk keluarganya.
“Kami redha akan perkongsian Abah dengan tanggungjawab yang digalas. Masa kami bersama Abah akan semakin berkurang.
“Ketentuan Allah tidak terjangkau dek akal. Pesan Abah ikut rasmi padi “makin berisi tambah menunduk” akan kekal sehingga akhir hayat kami,” tambahnya.
Malah, anak perempuan yang berusia 36 tahun itu juga melahirkan ucapan tahniah kepada ayahnya atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“ Tahniah Abah. Ini suatu amanah dan ujian Allah. All the best n semoga Allah memberi kekuatan iman, taqwa, tabah n sabar pada Abah.”
Sejurus selepas kenyataan itu dimuat naik, segelintir pengguna media sosial berpendapat status itu menyentuh hati serta melahirkan ucapan tahniah kepada Zahid dan keluarganya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan senarai anggota kabinet baru di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.