Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Timbalan Perdana Menteri adalah disebabkan perbuataannya sendiri.
Nazri berkata, Muhyiddin sengaja mencari nahas berhubung isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) kononnya untuk menjadi ‘hero’, sedangkan isu terbabit telah pun dibawa ke Kabinet dan sebulat suara melantik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk bercakap mengenainya.
Katanya, disebabkan Muhyiddin ingin menjadi ‘hero’, beliau terpaksalah menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
“Dalam Kabinet, kita sudah bersetuju hanya Husni boleh cakap mengenai 1MDB sehingglah pasukan petugas khas selesai menjalankan tugasnya.
“Tetapi Muhyiddin tidak patuh kepada keputusan Kabinet dan terus melancarkan serangan Ahad lepas ketika mesyuarat Umno Cheras itu,” kata Nazri.
Nazri turut menjelaskan sebagai anggota Kabinet, haruslah memberi sokongan penuh terhadap Perdana Menteri walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Jelasnya, dalam keadaan kerajaan dilontar dengan tuduhan yang tidak berasas, anggota Kabinet perlulah bersatu tanpa berpecah bagi menangani isu terbabit.
Jelasnya lagi, lantikan kabinet yang baharu yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak adalah tepat bagi memperkasakan kerajaan, sekaligus menguatkan parti bagi menempuh pilihan raya umum akan datang.
“Pertamanya, Kabinet memang prerogatif perdana menteri dan sudah tentu beliau perlu melantik mereka yang setia kepadanya dan mereka yang beliau selesa dengannya.
“Jelas sekali beberapa orang menteri yang digugurkan itu, terutamanya daripada Umno tidak mematuhi arahan dalam kes 1MDB atau memang masa mereka sudah tiba.
“Masa-masa begini kita tidak boleh ada Kabinet yang berpecah. Perdana menteri lakukan tindakan yang betul dengan melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri,” jelasnya.
Nazri turut memaklumkan beliau tidak berasa selesa dengan tindakan Muhyiddin melakukan serangan terhadap perdana menteri yang dituduh dengan tuduhan tidak berasas.
Nazri berkata, Muhyiddin sebagai orang kanan Najib sewajarnya memberi sokongan perdana menteri itu, bukan sebaliknya.
“Secara peribadi, saya rasa tidak selesa apabila timbalan menyerang perdana menteri dan tidak menunjukkan sokongan. Itu tidak betul,” katanya.