“Pantang datuk nenek untuk mengaku kalah sebelum masuk ke gelanggang.”
Itu tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan apabila diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Ahmad, kenyataan Muhyiddin ‘Jika esok diadakan PRU, maka BN akan kalah,’ hanya mengundang persepsi negatif dan melemahkan semangat akar umbi untuk bekerja.
“Jika nanti diadakan PRU, BN akan menang, InsyaAllah,” katanya.
“Dalam peperangan politik dan peperangan persepsi, kita perlu memberikan gambaran yang positif.
“Jika seorang jeneral perang sentiasa menyebut yang negatif, contohnya dalam perang ini kita akan kalah, maka segala askar dan pejuang tidak akan ada semangat utk menang, tidak akan berjuang habis-habisan.
Terdahulu, Muhyiddin ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kluang pada Ahad menyifatkan kenyataan Ahmad “esok bukan pilihan raya” sebagai lawak antarabangsa.
Menurut Ahmad, banyak contoh positif yang boleh dibuat seperti perbandingan beberapa keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan PRU sebelumnya dan juga keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Ahmad memberi contoh Parlimen Teluk Intan dan Pendang di mana Barisan Nasional tewas dalam PRU12 dan kemudiannya merampas semula kerusi tersebut dalam PRU13 dan PRK.
“Cerita kejayaan beginilah yang patut dihebahkan ketika memberi ucapan-ucapan dan bukan terus-terusan memberi gambaran sebaliknya.
“Banyak sudah program-program yang baik untuk rakyat telah dan sedang kita laksanakan. Takkanlah segalanya telah terpadam dengan hanya satu isu 1MDB, isu yang boleh diselesaikan.
“Maka saya kata, esok tidak perlu lagi diadakan PRU, masih ada masa, mungkin hingga tahun 2018. Namun, esok sudah boleh dimulakan persiapan untuk PRU itu,” ujarnya.