Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

‘Aku Nak Bakar Iblis Ni Hidup-Hidup’

$
0
0

Seorang guru pendidikan khas wanita sempat meninggalkan nota di atas meja sebelum dia ditemui rentung dalam kereta milik bapanya yang terbakar di Kampung Bukit Nibong, Paya Dalam, di sini, dalam kejadian kira-kira 2 pagi, semalam.

BACA: Guru Murung Ditemui Rentung Dalam Kereta

Mangsa, Fara Wahida Ali, 37, merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Saratok, Sarawak yang mengalami masalah mental dan diberikan cuti rehat sejak dua bulan lalu berikutan masalah kemurungan.

Menurut sumber polis, nota bertulis tangan dengan ayat ‘aku nak bakar iblis ni hidup-hidup. Iblis tak boleh duduk serumah dengan orang hidup. Menimbulkan pergaduhan nanti, Selamat Tinggal….’ itu bagaimanapun belum diketahui kaitannya.

Sumber berkata, hasil siasatan turut menemui sebuah botol dipercayai bekas minyak petrol dan alat pemetik api yang berada di atas tanah bersebelahan kereta jenis Proton Iswara yang terbakar.

Kebakaran itu juga turut memusnahkan sebuah lagi kereta jenis Daihatsu Charade milik keluarga itu yang diletakkan berhampiran.

Sementara itu, bapa mangsa, Ali Mikram, 62, berkata, anak perempuannya itu sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Saratok sebelum diserahkan kepada keluarga untuk berubat di kampung.

Menurutnya, kebakaran disedari sebaik dia terjaga dari tidur kira-kira jam 2 pagi sebaik saja terdengar bunyi letupan kuat dan mendapati api menjulang di hadapan rumah.

“Pada mulanya saya tak tahu anak saya ada dalam kereta itu. Ingatkan dia sedang tidur dalam bilik. Lalu saya kejutkan anak lelaki saya untuk memadamkan kebakaran itu dengan menggunakan air.

“Tapi, selepas mendapati kunci kereta itu tak ada di tempat simpanan dan seorang lagi anak perempuan saya beritahu Fara tiada dalam biliknya, saya terus syak dia ada dalam kereta yang terbakar itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ali turut mengesahkan anaknya itu mengalami masalah kemurungan sejak enam tahun lepas dipercayainya akibat buatan orang.

Malah, katanya, keadaan itu semakin teruk sejak sebulan lalu.

“Anak saya sebelum ini pernah bertunang beberapa tahun lalu dan putus setelah pihak lelaki mengetahui dia mengalami masalah kemurungan.

“Dalam dua tiga hari kebelakangan ini, dia tak duduk diam dan hanya berjalan ke hulu ke hilir dalam rumah dan sering menyendiri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997