Hidayah milik ALLAH, DIA berhak memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya, itulah yang berlaku ke atas seorang bekas pemuzik ‘band metal’, Abu Sofean yang berusia lingkungan 40-an, yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Menceritakan kisah Abu Sofean, seorang pendakwah jalanan, Ali Russia memberitahu bahawa dia menemui insan istimewa ini ketika Ijtimak Yala yang dihadirinya tahun lepas.
“Kawan-kawan coretan ‘Street Dakwah’ aku pada kali ini banyak berkisar kepada Ijtimak Yala yang aku hadiri tempoh hari dan cerita insan istimewa yang ALLAH telah pilih untuk membuat kerja agama, mengangkat mereka menjadi Daie ALLAH, iaitu tentang Abu Sofean,” katanya.
Menggamit semula memorinya, Ali Russia berkata kisah hitam Abu Sofean bermula sejak kecil lagi.
Digelar dengan panggilan “Taufan Cavalera Jr” kerana kepantasan bermain gitar, Abu Soffean, melalui pengalaman pahit dan onak duri kehidupan seawal usia 12 tahun sehinggalah dia diberikan hidayah oleh ALLAH untuk mengubah seluruh kehidupannya menjadi Hamba-NYA yang setia.
Abu Sofean dibesarkan oleh neneknya setelah kedua orang tuanya berpisah, dan dia telah dibesarkan di Daerah Makasar Sulawesi Selatan, Indonesia.
Selesai sekolah rendah dia telah meninggalkan neneknya lalu tinggal bersama ayahnya untuk meneruskan persekolahan Sekolah Menengah Pertama di Luwuk Bangai Sulawesi Tengah, kehidupan bersama ayahnya yang memberi segala kemudahan sehinggakan mampu memiliki kereta sendiri ke sekolah menyebabkan ‘Taufan Cavalera Jr’ menjadi semakin bebas, bebas pergaulan, terlibat dengan dadah dan mulai berjinak- jinak dan belajar bermain muzik.
Detik perubahan Abu Sofyan
Bercerita lagi, Ali Russia berkata kehidupan Abu Sofean berubah apabila, Abu Sofean menziarahi rakan sekampungnya setelah sekian lama tidak bertemu.
“ Pada satu tahun yang telah memberi satu kesan besar kepada dia ialah pada satu bulan Ramadhan, setelah dia mengalihkan aktiviti muziknya di salah satu pulau berdekatan dengan kampungnya di Makasar, di mana di Pulau tersebut dia telah mengenali seorang gadis, di dalam jangka masa yang pendek kerana hatinya terpaut kepada gadis berkenaan Taufan Cavalera Jr lantas menikahi gadis tersebut.
“ Selepas bernikah dia membawa pulang isterinya ke kampung untuk di perkenalkan kepada ibu dan nenek serta kawan kawannya,” katanya.
Menceritakan lagi detik-detik Abu Sofean berubah, Ali Russia berkata setelah dia berada di kampungnya dia berniat untuk bertemu rakan karibnya, namun perubahan dan penampilan kawannya membuatkan Abu Sofean ‘tersentak’.
“ Pada suatu hari semasa di kampung halamannya Taufan Cavaler Jr merencana untuk menziarahi sahabat karibnya seorang “Rider Harley” iaitu Abdillah Beso, yang menjadi rakan sepermainannya sejak kecil.
“ Pada pagi keesokannya dia telah berkunjung ke rumah Abdillah Beso, setelah sampai di rumah kawannya lalu Taufan Cavalera Jr memanggil kawannya dari luar, seketika kemudian kawannya Abdillah Beso keluar dan alangkah terkejut dia melihat kawan baiknya itu berpakaian ‘Sunnah’ ….memakai jubah dan berserban, mereka berpelukan dan menangis,” katanya.
Cerita Taufan Cavalera Jr , saat melihat kawannya di dalam pakaian Sunnah hatinya begitu terusik dan terus mengingati ALLAH dan tanpa dipaksa dia menangis entah kerana apa. Hidayah ALLAH…dia di jemput masuk dan berbual mesra dengan penuh kasih sayang, kata Taufan Cavalera Jr hatinya begitu terkesan akan kata- kata dan dakwah Abdillah Beso.
“Aku (Taufan Cavalera Jr) terus mengingati akan kehidupan hitam ku yang kulalui saban hari tanpa mempedulikan agama dan perintah ALLAH hatta membaca al-Fatihah pun tidak lancar dan tidak betul, apa lagi dengan perintah ALLAH yang lain,” katanya.
Jelas Taufan Cavalera Jr kepada Ali Russia, di dalam pertemuan itu sahabatnya Abdillah Beso mengajaknya ke Markas Tabligh Makasar.
“ Pada awalnya aku (Taufan) terfikir bagaimana mungkin aku yang begitu banyak dosa mahu ke Masjid sedangkan badan aku di penuhi “Wall Paper”…Tatoo. Abdillah Beso menenangkan aku, lalu mereka, aku dan dia pergi ke Markas, sesampai di Markas waktu sudah masuk waktu Magrib.
“… Sekali lagi aku membisikkan kepada Abdillah Beso yang aku tidak pandai bersolat hatta mengambil wuduk sekalipun. Abdillah Beso mengajari aku mengambil wuduk di satu sudut yang jauh dari orang ramai, selesai mengambil wuduk lalu aku memasuki saf untuk bersolat…di saat berdiri untuk solat aku merasakan diri aku begitu hina sekali…berdiri di hadapan ALLAH Azawajalla, di saat Takbir Ratul ihram hati aku hancur berkecai…luluh dan merasakan “aku tidak punyai apa apa di dunia ini dan hanya ALLAH lah yang Maha Besar menjadikan segala galanya,” katanya.
Kata taufan kepada aku ” Pak Ali, di saat itu saya tidak pandai solat, saya hanya mengikut apa yang dibuat oleh ahbab-ahbab (jemaah) lain semasa solat.
“Aku merasakan aku tidak layak bersama mereka ini, tetapi ALLAH Maha Mengetahui akan hatiku dan ALLAH Maha Pengasih, satu peristiwa yang telah membuatkan ku menjadi kuat hati dan berfikir secara mendalam ialah, Ketika aku sedang rukuk aku melihat kaki salah seorang ahbab di hadapan ku juga di penuhi dengan Tatoo, dan semasa aku memusingkan kepalaku untuk memberi salam kiri dan kanan aku juga melihat orang di sebelah ku juga bertatoo di lehernya lalu aku berkata…
“Ya ALLAH…di sini lah tempat aku sebenarnya…Masjid dan Dakwah Tabligh, ALLAHUAKHBAR,” tuturnya.
Dipendekkan cerita Ali Russia berkata bermula dari hari itu Abu Sofean, telah mengubah seluruh kehidupannya, dari seorang yang penuh sejarah hitam kini menjadi seorang yang selalu menangis di hadapan ALLAH dan setiap tahun keluar empat bulan, jemaah Jalan kaki dan empat bulan keluar negeri.
“Pada bulan pertama dia mendapat hidayah dia terus keluar tiga hari sebanyak tiga kali berturut-turut dan kembali dari tiga hari terus keluar empat bulan jalan kaki sehinggalah di saat aku berkenalan dengannya di Ijtimak Yala, dan itu adalah merupakan keluar berdakwah kali ke-14 selama empat bulan, ALLAH ! Semoga ALLAH mengekalkan kita di dalam usaha agama yang mulia ini amin,” katanya.