Seorang lelaki warga Indonesia mendakwa kehilangan pasport, telefon pintar dan wang tunai RM500 selepas bermalam bersama seorang wanita dipercayai pelacur di sebuah hotel bajet, Jalan Channel di sini Ahad lalu.
Menurut mangsa yang berusia 30-an, dia berjumpa dengan wanita itu yang memberitahunya bahawa dia boleh tinggal bersamanya di bilik penginapan itu.
Pada jam 7 pagi keesokannya, mangsa mendapati wanita itu telah meninggalkan bilik penginapan mereka ketika dia berada di dalam bilik mandi.
“Apabila keluar dari bilik mandi, saya mendapati wanita itu sudah tiada di bilik dan saya juga mendapati dompet, telefon bimbit serta pasport saya hilang,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
Peliknya, wanita yang bermalam dengan mangsa baharu sahaja keluar dari Balai Polis Sentral Sibu semasa lelaki tampil membuat laporan polis pagi semalam.
Difahamkan wanita tersebut juga membuat laporan polis dan mendakwa seorang lelaki warga Indonesia memukulnya dengan tangan kerana menuduhnya mencuri wang.
Wanita itu juga mendakwa lelaki tersebut menahan telefon bimbit dan sijil lahirnya.
Akhirnya, kedua-dua pengadu berbincang antara sama lain untuk menyelesaikan masalah yang mereka alami.
Difahamkan, seorang rakan lelaki warga Indonesia terbabit memberitahu bahawa wanita itu mengembalikan sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy yang diambilnya selepas mereka berbincang.
Namun, lelaki warga Indonesia tersebut tidak puas hati kerana pasportnya belum diserahkan oleh wanita itu.
“Biarlah wang RM500 diambilnya asalkan pasport saya dikembalikan,” kata mangsa yang tampil semula ke Balai Polis Sentral Sibu tengah hari semalam.