Rakaman video ceramah Ustaz UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya kembali menjadi popular di alam maya selepas dimuatnaik beberapa blog dan Facebook.
Ceramah tersebut dikatakan dirakam di sebuah masjid di Batu Caves pada Mei 2011, namun ia menjadi viral semula apabila Fathul Bari pada ceramah itu meminta umat Islam agar taat kepada pemerintah meskipun mereka mengambil harta rakyat.
Menerusi video yang berdurasi 8.18 minit itu, Fathul Bari yang merupakan seorang pendakwah menjelaskan rakyat perlu akur dengan apa sahaja yang dinaikkan oleh kerajaan termasuk bayaran sesuatu takrif perkhidmatan kerana ia telah dijelaskan di dalam hadis.
“Mungkin ada orang kata jenuhlah kami, yang itu naik yang ini naik. Kata nabi di dalam hadis, dengar dan taatlah kepada pemerintah walaupun dia mengambil harta benda kamu, walaupun dia memukul belakang-belakang kamu.
“Ada orang kata dia boring dah dengar hadis ni. Kalau dia boring mampus gi kat dialah,” katanya.
Menurut Fathul Bari lagi, mereka yang tidak faham dengan hadis nabi itu sebenarnya merupakan orang yang gagal beriman kepada Rasullulah S.A.W.
“Itu bagi pemerintah yang ambil dan rampas pun kena taat. Apatah lagi dia tidak rampas,” ujarnya.
Jelas Fathul Bari lagi, rakyat perlu sabar dengan apa yang berlaku dan kesabaran itu perlulah sampai bila-bila.
Rakaman video itu menjadi popular dan ‘bahan’ apabila dikaitkan dengan situasi semasa melibatkan GST yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, skandal 1MDB, sumbangan dana RM2.6 bilion dan ura-ura kenaikan kadar tol.