Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang terlibat secara langsung dalam penganjuran ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ atau ‘baju merah’ yakin jerebu akan hilang menjelang tengah malam sebelum perhimpunan tersebut berlangsung pada Rabu ini.
Jamal berkata, keajaiban itu berlaku kerana perhimpunan tersebut akan mendapat keberkatan kerana disertai dengan solat hajat dan doa.
“Hari ini saya rasa akan berlaku satu keajaiban kerana perhimpunan tersebut disertai dengan solat hajat, doa dan kebaikan.
“Saya rasa esok udara langit akan terang benderang. Takkan ada jerebu lagi. Jerebu sampai tengah malam ini sahaja”, katanya seperti dilaporkan portal Berita Daily.
Perhimpunan yang dianjurkan Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah dibenarkan oleh pihak polis dengan syarat-syarat ketat yang perlu dipatuhi penganjur dan peserta.
Perhimpunan yang didakwa bertujuan menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan bermula di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Bukit Bintang dan berakhir di Padang Merbok.