Meskipun Kabinet mungkin berubah, namun pemimpin Indonesia tetap kekal sensitif apabila timbulnya isu mengenai jerebu yang disebabkan oleh kebakaran hutan.
Semalam, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengkritik negara-negara jiran yang merungut tentang jerebu dan mendakwa mereka tidak bersyukur dengan udara bersih yang diberikan sepanjang tahun sebelum itu.
“Selama 11 bulan mereka menikmati udara yang baik dari Indonesia dan mereka tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada kami,” katanya.
“Mereka (Malaysia, Singapura & Brunei) telah dilanda jerebu selama sebulan dan mereka merungut,” katanya memetik laporan Jakarta Globe pada Selasa, hari ini.
Mengimbas kembali pada tahun 2013, bila Agung Laksono, menteri dalam kerajaan sebelum ini menyelar Singapura yang menyalahkan Indonesia atas pencemaran udara yang berlaku.
“Singapura tidak sepatutnya berperangai seperti budak-budak yang panik tidak tentu pasal,” katanya.
Akibat dari kenyataan itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono terpaksa memohon maaf kerana jerebu.
Menurut Jusuf Kalla, Indonesia telah berkali-kali memohon maaf di atas kebakaran hutan yang telah membawa kepada pencemaran udara di Malaysia dan Singapura.
Kerugian yang dialami oleh Indonesia kerana kebakaran hutan itu juga amat besar. Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan melaporkan kerugian yang dicatatkan dari 26 Februari hingga 4 April tahun 2014 adalah dianggarkan sebanyak AS1.6 bilion.