Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

‘RTM Hanya Siarkan Debat Tony & Arul Sahaja’– Salleh

$
0
0

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan Radio Televisyen Malaysia hanya menawarkan siaran langsung debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diantara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

“Bukan menarik balik. Oleh kerana tidak ada perbahasan diantara mereka (Tony dan Arul Kanda) lagi, maka dengan sendirinya tidak ada lagi siaran langsung. Bagaimanapun, saya katakan ini tidak bererti RTM tidak akan mempunyai slot untuk forum-forum tertentu,” kata Salleh, di Parlimen di sini hari ini.

Ditanya sama ada RTM akan menyiarkan secara langsung debat antara Arul Kanda dan pengganti Tony, jelas Salleh sesiapa sahaja yang akan mengganti Tony bukanlah isu utama.

“Ini bukan soal pengganti, ini bukan antara Pakatan Harapan, DAP dan 1MDB … ini adalah di antara Tony dengan Arul Kanda. Jadi tidak berbangkit soal pengganti oleh kerana ini adalah dua individu yang telah mencabar satu sama lain,” jelas Salleh.

Beliau pada masa sama turut memberi kebenaran kepada mana-mana stesen televisyen yang bersedia untuk menyiarkan siaran langsung debat tersebut.

Mengulas perkara sama, Salleh berkata RTM tidak pernah melarang mana-mana pihak yang ingin berdebat.

Malah, katanya RTM sendiri telah menyediakan satu slot program debat, Demokrasi Mengurus Perbezaan yang akan menampilkan wakil-wakil dari parti politik termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi membahaskan isu-isu semasa.

“Untuk bulan November ini, kita akan bahaskan satu isu iaitu Tatalaku Berparlimen. Walaupun debat ini (1MDB) tidak ada, tidak bermakna RTM tidak akan terlibat dalam program-program perbahasan,” ujarnya.

Katanya, program tersebut akan disiarkan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997