Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Skim Pencen Kerajaan Masih Komprehensif, Tidak Perlu Dikaji – Azalina

$
0
0

Skim pencen pesara kerajaan, termasuk pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa kini dilihat komprehensif dan seimbang, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan tiada perancangan untuk menyemak semula skim itu, namun menegaskan ia tetap akan diberi perhatian jika memerlukan.

“Skim pencen ini dilihat seimbang kerana seorang pesara akan menerima pencen bulanan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan gaji akhir; ganjaran dan ganti cuti rehat berbentuk kewangan serta kemudahan perubatan seumur hidup untuk pesara, pasangan dan anak yang layak.

“Di samping itu, kerajaan berpendapat kenaikan kadar pencen dua peratus setiap awal tahun adalah munasabah dan mencukupi untuk membantu pesara menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 sewaktu persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan sentiasa bersedia untuk mengkaji sebarang cadangan bagi meningkatkan kualiti hidup pesara dan pelaksanaannya turut bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Menyentuh mengenai situasi penjawat awam terjerat dengan pinjaman peribadi sehingga mengalami masalah kewangan yang teruk, Azalina berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi membendung masalah itu termasuk inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 baru-baru ini.

“Pada pembentangan bajet, kerajaan bersetuju menaikkan gaji permulaan terendah Perkhidmatan Awam kepada RM1,200 sebulan dan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, berkuat kuasa 1 Julai 2016.

“Di samping itu, mulai 1 November tahun ini, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) termasuk kepada kumpulan pelaksana pada kadar minimum RM300 bulan,” katanya.

Selain itu, Azalina berkata kerajaan turut membenarkan penjawat awam daripada kumpulan sokongan untuk melakukan pekerjaan luar dengan mematuhi Peraturan 5(3), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, dan mendapat kebenaran bertulis daripada ketua jabatan masing-masing.

Menyentuh mengenai peningkatan peruntukan pembangunan JPM daripada RM13 bilion (2015) ke RM14 bilion (2016), Azalina berkata peningkatan itu adalah ekoran pertambahan perbelanjaan pembangunan.

Selain itu, Azalina berkata peningkatan peruntukan turut disebabkan pertambahan jumlah agensi di bawah JPM seperti Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana, termasuk pengambilalihan Projek Lebuhraya Pan Borneo daripada Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, di bawah JPM terdapat 92 jabatan dan agensi secara keseluruhan dengan 57 adalah jabatan, 10 badan berkanun persekutuan, 13 syarikat, lima agensi pembangunan koridor, lima yayasan dan dua pertubuhan antarabangsa.

Azalina juga menafikan kerajaan membelanjakan RM40 juta bagi penggunaan dan penyelenggaraan pesawat rasmi kerajaan, seperti yang dibangkitkan Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Untuk makluman, perbelanjaan RM40 juta adalah tidak tepat. Kos operasi dan penggunaan pesawat ACJ320 sejak Mei hingga Oktober 2015 adalah sebanyak RM10,612,439.55 yang membabitkan kos ‘Monthly Firmed Fixed Price’, kos ‘over and above’ dan ‘variables’ seperti kos ‘ground handling/overflight/navigation’.

“Pengunaan pesawat eksekutif untuk kegunaan ketua kerajaan bukanlah sesuatu yang asing,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997