Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan memakan telur penyu yang dihidangkan di hadapannya semasa satu majlis di Sabah baru-baru ini.
Tegasnya, walaupun mengakui telur penyu itu berada di hadapannya namun dia tidak menyentuhnya kerana mengambil ubat kolesterol.
“Telur penyu di hadapan bukan bermakna saya makan telur itu.
“Saya tidak makan telur penyu kerana makan ubat kolesterol, kolesterol saya tinggi, ” katanya dalam satu pesanan WhatsApp kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Rabu, gambar Ismail duduk semeja bersama Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk James Ratib sambil menikmati makan malam di sebuah restoran makanan laut dipercayai di Sandakan menjadi viral.
Kelihatan kira-kira dua dozen telur penyu dihidangkan di atas meja berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun juga mengesahkan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa dan menggesa agar semua pihak menunggu keputusan hasil siasatan dalam masa terdekat.
Di Sabah, penyu dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Menurut Seksyen 41 Enakmen itu, ia adalah satu kesalahan untuk memiliki haiwan-haiwan itu atau produk (telur) spesis itu, di mana sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.