Pelakon, Raja Ilya mendedahkan dia terkena gangguan makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem seram berjudul Jelmaan yang dilakukan di Yogjakarta, Indonesia pada November tahun lalu.
Filem yang sudah mula boleh ditonton di saluran Astro First Eksklusif bermula 31 Oktober lalu ini merupakan filem seram pertama lakonannya.
“Hari kedua ketika penggambaran di Yogjakarta, Indonesia saya sudah dapat rasa lain macam ketika berada di bilik hotel.
“Saya tidak dapat berehat sepenuhnya sehinggalah saya meracau dan hampir dirasuk sehingga tidak boleh melelapkan mata kerana ketakutan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan, baru-baru ini.
Jelas Raja Ilya, lokasi penggambaran yang dilakukan untuk filem itu sememangnya agak ‘keras’ sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pengamal agama bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Kami menjalani penggambaran selama sepuluh hari di tempat-tempat yang memang di tanda sebagai tempat ‘keras’ seperti di Borobudur, Parangtritis, Gunung Merapi dan Candi Prambanan.
“Malah saya sendiri terpaksa menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk mengembalikan semula semangat saya agar dapat meneruskan penggambaran,” katanya.
Berkongsi wataknya, Ilya memberitahu, ia benar-benar memberikan cabaran untuknya kerana terpaksa menjerit setiap masa.
“Ada satu hari penggambaran itu, saya sudah tiada suara lagi. Watak saya dalam filem ini juga sangat berbeza daripada lakonan saya sebelum ini. Pengarah sentiasa mahukan saya melakukan aksi ‘hyper’.
“Oleh itu, mungkin penonton yang menyaksikan filem ini, akan melihat, saya sering cemas apabila anak hilang dan sentiasa menjerit serta menangis,” katanya.