Seorang guru agama wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sik semalam atas pertuduhan memukul pelajar perempuan berusia 16 menggunakan wayar Oktober lalu.
Tertuduh, Aishah Abu Bakar, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, Aishah didakwa telah memukul mangsa menggunakan wayar hitam di koridor di hadapan kelas Pondok Bandar Hilir, Teloi Tua, pada jam 10 pagi 8 Oktober.
Jika disabitkan bersalah, Aishah boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Mohd Izham Ali menetapkan 14 Disember depan tarikh sebutan semula kes dan tertuduh telah diikat jamin sebanyak RM1,000.
Di laman sosial pula, tampil seorang individu yang dipercayai pelajar sekolah itu juga mendedahkan bahawa dia menyaksikan sendiri apa sebenarnya yang berlaku pada kejadian itu.
“Yang komen marah-marah dan negatif itu, mohon jangan cepat melatah. Aku pun ada di situ pada masa itu,” katanya yang enggan menggunakan nama sebenar.
“Budak itu memang kurang ajar. Tulis pasal anu lelaki di meja budak dua perempuan. Lagi pun kena tibai sikit saja pun. Ada lagi budak yang kena tetapi mereka okay saja dan mengaku kawan mereka yang kena tibai itu menokok nambah cerita pada polis kononnya dia dipukul teruk sampai di bahagian belakang badan pun kena,” dedahnya.