2 minggu lepas, dalam perjalanan pulang ke rumah dari klinik, saya singgah ke sebuah pasar raya. Selesai membeli barang dapur, saya ke sebuah gerai donut. Saya membeli 1/2 dozen donut untuk keluarga di rumah. Saya juga memesan kopi, namun disebabkan kopi saya agak lama untuk disediakan, saya duduk di sebuah kerusi.
Sedang saya menunggu, saya melihat kelibat 6 orang anak-anak berusia antara 3 tahun hingga 15 tahun.
“Abang ada sikit duit. Jadi, kita boleh beli 3 biji donat. 2 orang akan kongsi 1 donat. Boleh?” tanya si abang kepada adik-adik. Masing-masing tersenyum girang.
Saya mengagak mereka dari keluarga yang susah. Dari segi pakaian dan perbualan mereka, itu mungkin telahan saya. Saya hanya melihat dari sudut sahaja.
“Semuanya, RMXX” jurujual memberitahu.
“Hah? Abang tak cukup duit ni!” kata si abang, wajahnya cuak. Saya yakin, abang tadi lupa mengira GST. Ya, apa yang terpapar pada skrin jualan hanyalah harga donat tanpa GST.
“Abang mintalah duit dengan mak,” adik pula bersuara.
“Mak pun mesti takde duit,” balas abang lagi.
Saya segera bangun, lalu memesan,
“Tambah lagi 3 donat,”
“Akak…ini adik takda duit,” jawab jurujual tadi.
“Takpe, biar saya bayar,”
Saya melihat 6 orang adik beradik. 3 orang dari mereka mungkin bersekolah rendah manakala 3 orang lagi kelihatan agak matang.
“Kakak, mak saya tak bagi minta-minta dengan orang ini. Kalau mak tahu, mesti saya kena marah,” sambil tunduk si abang bersuara.
“Eh? Mana ada awak minta. Kakak yang nak belikan untuk adik-adik semua. Kan?” saya senyum sambil mengangkat kening melihat si abang.
Usai sesi jual beli, 3 orang adik yang kecil berebut-berebut mengambil donat manakala 3 orang lagi hanya diam memerhati.
“Kenapa tak makan?” tanya saya.
“Tak cukup” balas si abang.
“Kan ada 6 donat tu. Seorang satu lah. Cukup,” saya balas.