Pas disaran membentuk kerjasama politik dengan UMNO memandangkan kedua-dua parti itu sudah ada keserasian dari segi watak dan idealisme.
Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata, ia demi kebaikan rakyat dan negara susulan kegagalan parti Islam itu melakukan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Pembangkang.
“Pas telah cuba bergabung dengan pakatan pembangkang berulang kali tapi nyata gagal. Gagal disebabkan sifat parti dan idealisme yang dipegang. Pas patut mencuba dengan UMNO secara lebih serius. Mana tahu, mungkin di sana ada kebaikan untuk umat dan negara.
“Jika Pas dan UMNO dapat menjadi sahabat baik yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran, serta mencegah kemungkaran, mungkin banyak manfaatnya,” katanya menerusi status Facebook pada Isnin.
Malah, menurut Dr Asri ia juga akan memakbulkan hasrat Abdul Hadi yang pernah mengakui mahu menwujudkan satu hubungan yang matang di antara kedua-dua parti itu.
“Pas dan UMNO saudara seakidah. Jika kita fahami, mereka sebenarnya tidak jauh dari segi watak dan idealisme. Pas yang dulu mungkin jauh dari UMNO. Pas hari ini hampir menyamai UMNO dari segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok sahaja. Itupun bukan soal pokok,” katanya.