Penemuan awal Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5) mendapati 3.1 peratus remaja Malaysia pernah melakukan hubungan seks.
Peratusan itu merupakan 164 orang remaja daripada 5,304 responden berumur 13 hingga 24 tahun yang ditemubual semasa kajian dibuat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kajian juga mendapati 21.4 peratus remaja pernah bercium-ciuman, 12.9 peratus pernah melakukan aktiviti meraba-raba manakala 2.9 peratus pula pernah melakukan seks melalui telefon.
“Langkah melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PEKERTI) adalah tepat pada masanya berdasarkan statistik yang membimbangkan ini.
“Saya yakin ia dapat meningkatkan pengetahuan dan sikap yang lebih positif terhadap kesihatan reproduktif bagi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Wacana Penyelidikan Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja Sabah di sini sebentar tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.