Seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 bulan maut manakala ibu saudaranya kritikal selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kemalangan berlaku pada 10 pagi tadi ketika Mohd Qayyum Mohd Saffari yang didukung Suhaila Shaharuddin, 41, seorang suri rumah, sedang melintas jalan itu.
“Difahamkan lori membawa muatan bahan pencuci pesakit buah pinggang untuk hemodialisis (baxter) dari arah Permas Jaya menuju pusat bandar raya itu tidak sempat mengelak Mohd Qayyum dan Suhaila kerana terlalu dekat dan menyebabkan kedua-dua mereka tercampak ke tengah jalan raya,” katanya di sini Khamis.
Sulaiman berkata Mohd Qayyum kemudian meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala Suhaila yang juga merupakan pengasuh kanak-kanak itu kini dilaporkan kritikal di Hospital Sultanah Aminah, di sini.
Beliau berkata pemandu lori terbabit bersama seorang kelindannya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian Suhaila yang melintas jalan raya tanpa menggunakan jejantas yang disediakan iaitu lebih kurang 20 meter sahaja dari lokasi kemalangan.
Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.