Jatuhan serpihan satelit yang tidak lagi berfungsi di angkasa Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa) diramal berlaku di luar Malaysia apabila memasuki atmosfera bumi pada 24 Sept ini.
Menurut Agensi Angkasa Negara dalam satu kenyatan hari Khamis, satelit UARS diramal akan jatuh dan memasuki atmosfera bumi pada 24 Sept ini setelah dinyah aktifkan pada 2005.
Mengikut laporan Nasa, UARS akan terbakar dan pecah kepada serpihan kecil apabila memasuki atmosfera bumi dan dijangka hanya sebahagian kecil daripada komponen satelit itu akan jatuh ke permukaan bumi.
Oleh yang demikian, kenyataan itu berkata risiko jatuhan serpihan kepada orang awam adalah amat kecil.
Nasa juga melaporkan bahawa waktu dan jejak jatuhan serpihan satelit hanya akan diketahui dengan tepat beberapa jam
sebelum berlaku.
Namun daripada penjejakan laluan orbit satelit yang dilakukan oleh WeatherSpace.com, laluan serpihan satelit itu dijangka jatuh di kawasan sekitar Afrika, Asia Timur dan berakhir di Lautan Pasifik, di luar Malaysia.
UARS seberat enam tan dilancarkan pada 1991 untuk mengukur lapisan ozon, angin serta suhu dan ia merupakan satelit terbesar Nasa yang dijangka jatuh selepas satelit Skylab terhempas di barat Australia pada 1979.