Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan supaya mengadakan satu lagi majlis di Dewan Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru sebagai pentas untuknya membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015.
Sindiran itu dibuat oleh penulis blog, Awang Zabidi sebagai reaksi terhadap Muhyiddin dan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal apabila rayuan mereka berdua untuk berucap pada perhimpunan itu ditolak oleh pihak Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“Orang politik memang pantang lihat mikrofon. Mesti nak berucap. Oleh kerana Muhyiddin masih nak berucap apa salahnya beliau sekali lagi buat majlis di Dewan Kelab Sultan Sulaiman pada hari Sabtu malam.
“Kalau Isnin lalu beliau boleh buat majlis kerana tidak diberi peluang merasmikan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO, apa salahnya beliau buat majlis pengulungan khas Timbalan Presiden UMNO mengulas isu yang dibangkitkan oleh para perwakilan,” tulisnya pada entri terbaru di blog catatanzabidi.blogspot.my pada Khamis.
Zabidi turut menjangkakan ramai yang akan hadir jika Muhyiddin memberikan ucapan penggulungan itu nanti dengan jumlah kehadiran bukanlah daripada para perwakilan UMNO.
“Kalau gila sangat nak berucap, buatlah majlis pengulungan itu di Kampung Baru sekali lagi,” tulis Zabidi lagi.