Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kagum dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atas kelantangannya ketika Ucapan Dasar di perasmian Perhimpunan Agung Pemuda Umno, semalam.
Menurut Muhyiddin, meskipun berlapik namun Khairy tetap menunjukkan keprihatinan terhadap bebanan rakyat.
“Saya rasa agak kagum, saya dengar sedikit ucapan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, saya tak dengar yang lain.
“Ada ‘feedback’ yang beliau agak lebih lantang bersuara…beralas, berlapik tapi setidak-tidaknya ada menunjukkan ‘concern’ yang agak begitu serius oleh pimpinan pemuda terhadap isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya kepada Sinar Online dalam wawancara eksklusif, semalam.
Semalam, Khairy menggesa kerajaan untuk menghentikan segala kenaikan harga dan tambang yang jelas telah membebankan rakyat serta mengingatkan BN tentang Aku Janji sebelum PRU 13 yang lalu.
Mengulas tentang perjuangannya yang dilihat seolah-olah berseorangan, Muhyiddin menegaskan tidak kisah dengan suasana itu.
“Saya tak tahu kalau saya berseorangan, berseorangan, kita ada 3 juta ahli dan saya fikir ramai juga mungkin yang menyokong perjuangan kita. Tapi tak apa jika saya berseorangan sahaja. Saya bersedia.
“Saya sudah menanggung kesan daripada tindakan saya dan mungkin ada tindakan lagi nak dipancung, dicincang saya…tak apa. Yang mustahak, rakyat tahu apakah tindakan saya itu betul ataupun atas sebab-sebab tertentu,” katanya.
Katanya, ahli-ahli Umno hari ini tidak vokal sepertinya mungkin kerana bimbang dipancung sepertinya.
“Saya percaya ahli Umno ada perasaan, mereka tahu, mereka cerdik tapi mungkin kerana suasana politik yang dihadapi hari ini, mereka tidak rasa lebih bersedia dan terbuka untuk menyatakan hasrat mereka atau wujudnya satu politik ketakutan. ‘Kalau saya bersuara, nanti saya akan dipancung…tengok Tan Sri Muhyiddin, dia sudah kena pancung. Jadi, untuk selamat dan tidak diganggu, maka berdiam’.
“Ini satu masalah besar bagi kita. Parti ada hak tetapi ahli parti tidak boleh menggunakan hak. Jadi, sebab itu kita tenggelam daripada berhadapan dengan realiti, rakyat lihat ‘eh apa dah jadi dengan Umno?
Ahli bertanya, arah tuju mana kita pada hari ini? Banyak juga yang rasa bimbang jika sokongan kita sudah merosot dan kita kalah dalam pilihan raya,” katanya.