Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memuji ‘fenomena’ sepakan percuma pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ketika perlawanan menentang Pahang semalam.
Menerusi Facebooknya Najib berkata, fenomena itu turut tersebar ke Amerika Syarikat (AS), dan dari kaca matanya, sepakan itu benar-benar unik.
“Hebat gol sepakan percuma Faiz Subri, khabat mengenainya tersebar sampai ke Amerika. Saya ada lihat klip sepakan percuma itu, memang cantik!,” katanya.
Terdahulu pasukan Pulau Pinang membuktikan pasukan mereka antara skuad yang perlu diberikan perhatian pada musim ini dengan mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 selepas menewaskan Pahang dalam aksi pertemuan yang berlangsung semalam.
Apa yang lebih mencuri tumpuan apabila, pemain tengahnya, Faiz mencetuskan fenomena dengan kejayaan menghasilkan gol menarik hasil sepakan percuma yang diambil pada minit ke 62.
Penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin gagal membaca baik sepakan percuma oleh Faiz yang melencong dengan unik sebelum menerjah masuk ke penjuru kanan gol.
Gol kedua oleh Faiz dalam perlawanan itu mendapat perhatian umum serta portal-portal sukan di dunia berikutan jaringan berkenaan dilihat seakan-akan seperti sepakan percuma yang dilakukan oleh bekas pemain Brazil, Roberto Carlos pada perlawanan menentang Perancis beberapa tahun lalu.