Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melalui Kerajaan Pulau Pinang memberi insentif berjumlah RM10,000 kepada pemain tengah pasukan bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri di Pejabat Ketua Menteri sebentar tadi.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng disaksikan jurulatih pasukan itu, Jacksen F Tiago, Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, isteri Mohd Faiz, Nor Zawanis Hashim serta beberapa Exco lain.
Guan Eng berkata, sumbangan itu sebagai menghargai pencapaian terbaik Mohd Faiz yang membuat sepakan percuma yang disifatkan sebagai gol ajaib sehingga mendapat perhatian dunia.
Terdahulu, nama Mohd Faiz menjadi sebutan ramai di seluruh dunia selepas dia menjaringkan satu gol istimewa, Selasa lalu.
Mohd Faiz membuat kejutan apabila sepakan percuma yang dilakukannya dari jarak 35 meter, melengkung masuk ke gawang gol dalam perlawanan menentang pasukan Pahang dalam Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Bandaraya.