“Revolusi seks” melanda China, kini lebih ramai mengadakan seks sebelum berkahwin, amalan yang dilarang tegas beberapa dekad lalu sewaktu pemerintahan Mao Zedong.
Dalam tempoh 20 tahun mutakhir, lima kali ganda warga negara itu kini melakukan hubungan jenis berbanding sewaktu wujud undang-undang menyekat amalan itu, lapor portal News.com.au di sini hari ini.
Menurut Li Yinhe, seorang pakar kajian seks China, dulu kerajaan memperkenalkan peraturan yang membolehkan wanita dihukum jika bersetubuh dengan lebih seorang lelaki.
“Dalam tinjauan saya pada 1989, 15.5 peratus responden melakukan hubungan kelamin sebelum perkahwinan,” katanya dalam satu wawancara untuk dokumentari BBC.
“Namun dalam tinjauan saya dua tahun lalu, angka itu meningkat kepada 71 peratus.”
Menyifatkan gejala ini sebagai “revolusi seks”, Li berkata China sekarang berada di tengah-tengah zaman perubahan penting apabila peraturan-peraturan itu dilonggarkan.
“Orang sedang mengalami perubahan peringkat revolusi dalam fikiran dan tingkah laku dan kajian saya mendepani pergelutan tersebut,” beliau dipetik berkata.
“Apabila saya menyampaikan syarahan di Tianjin, lebih 1,000 orang hadir mendengar… Saya fikir keinginan yang terpendam di jiwa masing-masing telah melompat keluar.”
Sebelum undang-undang ketat mengawal seks luar nikah dimansuhkan pada 1997, penyebaran bahan lucah atau menganjurkan parti seks boleh dikenakan hukuman mati.
Tindakan terhadap kegiatan pelacuran juga sangat berat. Pada 1996, seorang pemilik rumah mandi dikenakan hukuman mati kerana menjalankan kegiatan pelacuran.
Namun kini seorang wanita muda Beijing hanya dikenakan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan menerbitkan enam novel seks atas talian.
Pada 2014 di Shanghai, sekumpulan rakyat China dipenjara tiga bulan kerana menganjurkan seks parti melalui Internet.
Pada 2012, lapor News.com.au lagi, seorang wartawan Amerika Syarikat mengkaji sejarah perkembangan seks di China dalam tempoh 5,000 tahun dalam bukunya Behind the Red Door: Sex in China.
Richard Burger berpendapat perubahan besar selera seks di sana meledak akibat perkembangan Internet. “Tidak ada faktor penyebab yang mencetukan revolusi seks sebagaimana [dampak] Internet,” katanya dalam wawancara dengan Business Insider Australia.
“Anda boleh menjejak revolusi seks mulai merebak cepat apabila Internet menjadi makin popular.”
The post China Dilanda ‘Revolusi Seks’ Sejak Akta Ketat Mao Dimansuh appeared first on WOWBERITA.ORG.