Misteri kehilangan Datuk Seri Ahmad Said pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu menjadi tanda tanya kebanyakan pihak.
Apa tidaknya, Ahmad, 56; tiba-tiba menjadi sensasi seluruh Malaysia apabila membuat kejutan pagi Selasa dengan nekad mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif, 50; yang juga ADUN Seberang Takir.
Usul tergempar itu bagaimanapun ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Mohd. Zuber Embong kerana ia dikemukakan tanpa notis minimum selama dua minggu sekali gus tidak mematuhi peraturan untuk mesyuarat tersebut.
Menurut portal berita AgendaDaily, bukan sahaja pihak media malah semua orang tercari-cari di manakah kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kijal yang juga bekas Menteri Besar Terengganu ini ‘bawa’ diri.
Macam-macam cerita timbul mengenai ketiadaan Ahmad Said pada sidang DUN. Ada yang kata beliau konon sudah ‘terbang’ pergi ke Korea Selatan untuk menghantar anaknya belajar di negara kimchi K-Pop tersebut.
Juga yang menjadi tanda tanya lebih besar apakah motif Ahmad sebenarnya sengaja cetus kejutan itu. Beliau dakwa terpaksa kemuka usul undi tidak percaya itu kerana tidak puas hati pada Menteri Besar dalam beberapa hal.
Sedangkan pada kelaziman, isu dalaman parti dan pentadbiran antara wakil rakyat kerajaan hanya diselesaikan menerusi pertemuan dan rundingan sesama sendiri khasnya ketika mesyuarat badan perhubungan UMNO negeri.
Kenapa Ahmad guna platform DUN yang boleh gugat kedudukan kerajaan BN negeri? Dakwanya beliau hanya tidak sokong Menteri Besar tetapi bukan berniat hendak menumbangkan langsung kerajaan negeri BN.
Juga katanya beliau tetap kekal dalam UMNO kecuali dipecat. Ironi penganalisis politik tempatan menilai ia mungkin ada kaitan dengan ‘angin’ politik di peringkat pusat khasnya isu panas Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perkara itu diakui Ketua Kelab Barisan Penyokong Kerajaan Terengganu dan juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang berkata tindak tanduk Ahmad agak pelik.
“Sejarah yang agak pelik apabila ada ADUN BN kerjasama dengan pembangkang untuk undi tidak percaya. Ini mungkin rentetan dari peringkat persekutuan seperti tindakan (bekas perdana menteri) Dr. Mahathir (Mohamad).
Justeru katanya BN Terengganu tetap berdiri teguh di belakang Ahmad Razif di sebalik Ahmad Said kebelakangan ini beberapa kali mengkritik kerajaan negeri secara terbuka dan tidak sembunyi mengakui beliau pro-Mahathir.
The post Gagal Usul Undi Tidak Percaya, Ahmad Said ‘Lari’ Ke Korea? appeared first on WOWBERITA.ORG.