Pas mengambil pendirian berkecuali dalam isu cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semalam.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak terlibat dengan gerakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mencadangkan usul itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
“Sehingga kini kita (PAS) tidak ambil bahagian. Pas hanya lihat isu-isu yang munasabah dan bukan isu untuk merebut jawatan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cadangan usul dibawa Ahmad, yang juga bekas menteri besar Terengganu selama enam tahun bermula 2004, sebelum mengakhiri perbahasannya di DUN itu.
Cadangan itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.
Sementara itu, ketika diminta mengulas pendirian PAS mengenai ‘Deklarasi Mahathir’, Abdul Hadi berkata parti itu tidak bersetuju dengan tindakan ‘gopoh’.
“Saya sebelum ini sudah beri kenyataan bahawa ada perkara yang kita setuju dan ada yang tidak setuju mengenai deklarasi itu. Yang kita setuju adalah perubahan. Yang kita tidak setuju adalah gopoh.
“Kita mahu perubahan secara demokratik sama ada pilihan raya atau undi tidak percaya. Undi tidak percaya mestilah undi di Parlimen, mestilah (melibatkan) orang UMNO sendiri. Kalau UMNO tak ubah dan kita (Pas) saja yang ada 14 kerusi nak buat apa, maka sia-sialah. Mesti ada kemunasabahannya,” katanya.
Jelasnya, Pas tidak akan bersetuju dengan perkara-perkara yang tidak mengikut proses demokrasi.
Beberapa anggota UMNO dan pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu menandatangani deklarasi yang antara lain mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai perdana menteri.
The post Undi Tidak Percaya MB: ‘Pas Tidak Mahu Terlibat’ – Hadi Awang appeared first on WOWBERITA.ORG.