Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini secara lantang menyampaikan rasa marahnya kepada tindakan pihak berkuasa ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Menurutnya, pihak berkuasa langsung tidak berpegang kepada janji dan arahan agar semua ahli parlimen bebas daripada sebarang gangguan sepanjang menghadiri sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen dan sekitarnya.
“Saya nak bagi tahu itu abang-abang polis, saya benci tindakan kamu ke atas YB Rafizi Ramli. Sila bagi tahu ketua kamu, saya benci dan menyampah!
“Ini pun nak kena ajar?,” tulis Nik Abduh di laman Facebook miliknya, hari ini.
Rafizi ditahan di luar bangunan parlimen kira-kira jam 6.05 petang semalam dan perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Difahamkan, Rafizi yang juga merupakan Naib Presiden PKR ditahan untuk membantu siasatan berhubung pendedahan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sementara, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, cara penahanan yang dijalankan ke atas Rafizi itu seolah-olah beliau individu yang berbahaya terhadap negara.
“Rafizi bukan ketua penyamun atau ketua penyeludup diesel. Walaupun Ketua Polis Negara menyebut ia menepati dengan SOP polis, bukankah ia ada kuasa budi bicara.
“Apakah ada rekod YB Rafizi degil tidak hadir ke balai polis jika dipanggil? Adakah beliau orang yang pernah lari dari lokap? Adakah beliau memiliki senjata api yang berbahaya?,” tanyanya.
Beliau turut mengingatkan Khalid agar tidak merosakkan imej mulia sebahagian besar anggota polis yang menjaga keamanan dan keselamatan negara.
“Janganlah waktu kita berkuasa, kita bercakap dan bertindak seolah-olah kita kekal berkuasa sehingga kiamat.
“Ingat kuasa hanya amanah sementara di dunia, semuanya akan dihitung pada hari yang tidak ada lagi pangkat, pemimpin dan kawan yang boleh membantu kita. Waktu itu penyesalan tidak ada makna,” katanya.
The post ‘Saya Benci, Menyampah Tindakan Polis Pada Rafizi’ – Nik Abduh appeared first on WOWBERITA.ORG.