Seorang model bikini bersama kekasihnya didakwa menyalahgunakan kad kredit orang lain berjumlah US$2 juta (RM7.8 juta) untuk hidup bermewah-mewah.
Patricia Perez-Gonzalez, 26, dan teman lelakinya Alberto Companioni, 31, bersama beberapa yang lain dalam sindiket penipuan itu membuka 40 akaun kad American Express Platinum.
Dengan menggunakan maklumat yang dicuri, kata pihak pendakwa Manhattan, pasangan muda itu membeli kereta mewah, melancong, makan dan membeli-belah di tempat orang berada.
Kad yang dibuka mereka dihantar ke alamat rumah-rumah kosong sebelum pasangan itu, atau sindiket itu, mengambilnya dalam kegiatan mereka sejak dua tahun lalu, lapor New York Post.
Tinggal di Miami, pasangan itu terbang ke New York, California dan Hawaii, makan di restoran mahal seperti Bagatelle, selain membeli barangan mewah Hermes, Burberry dan Louis Vuitton.
Perez-Gonzalez, yang sering memuatkan foto-fotonya yang berbikini di Twitter, sering menjual barangan miliknya melalui laman web miliknya “Le Fashion Wheels.”
Gadis ini sering menghantar foto-foto seksinya kepada Maxim melalui akaun Twitter majalah lelaki popular yang sering memaparkan tubuh wanita cantik.
Menurut dokumen mahkamah, kediaman mereka dipenuhi barangan yang dibeli menggunakan wang itu seperti basikal lumba, alatan ski mahal, sebuah jam Rolex dan beg tangan Chanel.
Di situ, pihak berkuasa merampas kad-kad pengenalan palsu, kad kredit kosong, alat pengkod kad kredit dan laporan kredit mangsa-mangsa mereka.
Perez dan Companioni didakwa di mahkamah bulan lalu atas pertuduhan mencuri barangan peribadi dan menyalahguna identiti orang lain.
Namun kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin US$500,000 (RM1.9 juta), lapor portal New York itu lagi.
The post (5 Gambar) Model Terkenal Seleweng Kad Kredit RM7.8 Juta Untuk Hidup Mewah appeared first on WOWBERITA.ORG.