“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”
Itulah perumpamaan yang dikaitkan dengan pasangan orang kelainan upaya ini dari Teluk Intan.
Hampir semua warga Teluk Intan mengenali pasangan berbangsa Cina ini kerana mereka sentiasa berada di tepi jalan raya sekitar bandar itu, mengutip kotak dan tin.
Digelar sebagai “uncle” dan “aunty”, pasangan tersebut dikatakan mencari rezeki dengan hanya mengutip barangan kitar semula, menggunakan basikal roda tiga.
Bekerja lebih dari 10 tahun, pasangan istimewa ini merupakan pasangan yang dikasihi ramai.
‘Uncle’ dan ‘aunty’ dilihat sebagai ‘pahlawan kehidupan’ oleh warga bandar itu kerana selama ini, mereka berdua secara tidak langsung mengajar orang di sekelilingi erti tabah mengharungi hidup.
Bukan itu sahaja, mereka merupakan pasangan setia yang sentiasa bersama.
Bagaimanapun, baru-baru ini, warga Teluk Intan dikejutkan dengan berita kematian mereka yang sangat menyayat hati.
Pasangan cinta sejati ini maut selepas terlibat dalam satu kemalangan tragis. Mereka telah dilanggar lari oleh sebuah lori di simpang lampu isyarat Kampung Banjar Teluk Intan, pada Selasa lalu.
Lebih sayu, tubuh mereka dikatakan berpelukan.
Susulan kejadian tersebut, berita sedih itu mula viral di media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih mereka terhadap pasangan malang ini.
Mereka turut berkongsi kisah mereka serta ajaran yang disampaikan oleh pasangan tersebut sepanjang kehidupan mereka.
Rata-rata meyifatkan pasangan berdua ini sebagai Romeo dan Juliet kerana berkongsi cinta yang luar biasa.
Seorang netizen, Bila Cikgu Emmet menulis, berkata, “Penduduk Teluk Intan sentiasa tersentuh melihat “aunty” ini mengelap peluh suaminya yang letih mengayuh basikal roda tiga itu.
Mereka dilihat kerap berpanas dan berhujan bersama. Mereka pasangan setia sepanjang masa bersama.”
Ema’s Yunan pula berkata, pasangan yang tidak sempurna pada pandangan mata itu memang romantis.
“Jalan berpegangan tangan dan sebagainya. Sebab mereka saling memerlukan.”
Malah, pasangan istimewa itu turut digelar sebagai ‘guru’ oleh netizen.
Hal ini, menurut mereka, sepanjang perjalanan kehidupan mendiang, mereka berdua sering menunjukkan sikap atapun perbuatan yang sungguh mengagumkan.
Nur Najihah berkata, mereka tidak pernah susahkan orang walaupun hidup dalan keadaan begitu susah.
“Sungguh saya kagum. Mereka kini tinggal memori.”
“Insan yang tidak pernah meminta walapun tiada, malah sering memberi apa yang ada kepada insan lain yang lebih memerlukan,” kata Ahmad Faisal Zakaria.
Nirzawati Mohd Ridzwan pula berkata apa yang dilihat selama ini akan dijadikan teladan.
“Bila terlihat mereka di sekitar Teluk Intan, memang selalu menyuarakan kekaguman melihat kasih sayang mereka pada suami.. kesempatan itu mungkin ilmu dan teladan buat saya dan suami,”
Cikgu Emmert berkata, Teluk Intan kehilngan seorang guru yang berharga dan selepas ini, mereka tidak akan dapat melihat kelibat mendiang.
“Selepas ini Teluk Intan tak akan melihat kelibat uncle dan aunty ini bersama basikalnya berkembara di sekitar bandar ini.
“Tiada lagi lambaian tangan setiap kali mendengar hon dari pemandu yang beramah mesra dengannya. Damailah uncle dan aunty. Damailah bersama cinta mu yang sejati. Damailah,” katanya.
The post Perginya ‘Romeo & Juliet Teluk Intan’, Bawa Cinta, Tinggalkan Ilmu Untuk Kita appeared first on WOWBERITA.ORG.