Mayat wanita mangsa nahas helikopter ditemukan dalam keadaan tertiarap di tebing sungai Batang Lupar tengah hari tadi, kata Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 2 Sarawak Azman Julaihi.
Beliau yang merupakan komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM berkata, mayat wanita itu ditemui berhampiran serpihan pesawat.
“Kita berharap semua mangsa dijumpakan secepat mungkin,” katanya.
“Sekarang radius operasi SAR meliputi 150 kilometer melibatkan lebih 50 anggota daripada agensi penyelamat APMM, marin, tentera dan helikopter JPAM dari Sibu, Betong, Sri Aman serta Kuching.
“Unit skuba akan cuba buat selaman selepas ini. Pencarian semua tertumpu di hulu Sungai Batang Lupar,” katanya.
Azman berkata, pihaknya turut meminta bantuan daripada nelayan untuk membantu operasi SAR.
Terdahulu, telah disahkan bahawa mayat ditemukan itu adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.
The post Nahas Helikopter: Mayat Ditemui Tertiarap, Sah Datuk Noriah Kasnon appeared first on WOWBERITA.ORG.