Indonesia tidak lagi akan membenarkan golongan wanita dari negara itu untuk bekerja sebagai pembantu rumah tinggal bersama majikan di luar negara bermula tahun depan.
Negara itu mahu pembantu rumah diambil kerja sebagai pekerja formal dengan waktu kerja yang ditetapkan dan tidak lagi perlu tinggal di rumah majikan selain perlu diberi cuti rehat mingguan, kata Duta Besar Indonesia, Herman Prayitno.
“Kami mahu kontrak rasmi antara pembantu rumah dan majikan. Sama seperti kontrak disediakan untuk bekerja di syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Republik Indonesia sedang melaksanakan Pelan Hala Tuju Pekerja Pembantu Rumah dari negara itu pada tahun depan bagi melindungi kepentingan rakyatnya.
Laporan itu memetik kerajaan Indonesia sebagai berkata langkah itu dianggap sebagai penting untuk menghentikan penyalahgunaan terhadap pembantu rumah yang tidak menerima gaji minimum, cuti dan waktu kerja tetap.