Sebuah pesawat EgyptAir yang hilang daripada radar awal hari ini semasa penerbangan pulang dari Paris, Perancis telah jatuh terhempas di lautan berdekatan kepulauan Greece, Karpathos.
Memetik sumber industri penerbangan di Greece, agensi berita AFP melaporkan bahawa penerbangan MS804 itu terhempas selepas memasuki ruang udara Mesir.
“Sekitar 0029 GMT (3.29 pagi/8.29 pagi waktu Malaysia) semasa di ruang udara Mesir, pesawat tersebut hilang daripada radar Greece… Ia kemudian terhempas lebih kurang 130 batu nautika dari kepulauan Karpathos,” kata sumber itu.
Pegawai Greece itu menjelaskan bahawa komunikasi terakhir mereka bersama juruterbang ialah tiga minit sebelum kehilangannya, dan tiada isyarat kecemasan diberikan.